“Awak ni
kelakar la.” Kata seorang rakan. “Masa mula-mula kenal
dulu, takut nak tegur. Kalau tengok
muka, macam jenis yang serius. Ingatkan
sombong, rupa-rupanya kelakar.” Sambungnya
lagi. ”Oh! Ye ke.” Balas saya sambil tersengih.
Saya dah lali
dengan komen-komen yang seperti itu sejak di bangku sekolah lagi. Saya boleh dikategorikan sebagai pendiam
ketika itu. Sukar untuk saya memulakan bicara dengan orang yang baru dikenali. Dalam erti kata yang lain, saya bukanlah seorang
yang peramah.
Saya mula
menyedari yang saya mempunyai masalah untuk bergaul mesra dengan orang yang
baru dikenali semasa saya menjalani praktikal yang pertama di salah sebuah
sekolah di negeri Johor. Ya! Saya seorang pendiam dan hanya bercakap apabila
perlu. Ironinya, cita-cita saya adalah
menjadi seorang guru. Kelakar, bukan?
Pada mingu
pertama, saya terpaksa bergelut untuk menyesuaikan diri dengan keadaan
sekeliling. Saya perlu mengatasi
kelemahan diri saya iaitu ‘bercakap’. Saya perlu bercakap, bercakap dan
bercakap dihadapan hampir 40 orang murid yang baru dikenali. Bukan itu sahaja,
malahan saya perlu bercakap dengan Guru Pembimbing, dengan Pembantu Makmal,
dengan Pengetua, dengan staf sokongan di pejabat dan dengan rakan-rakan guru
yang lain di bilik guru. Keadaan itu cukup asing buat saya. Itulah cabaran pertama saya.
Masih jelas di
ruang ingatan, betapa kelakarnya saya ketika pertama kali memperkenalkan diri
di hadapan kelas. Pertuturan yang kurang
lancar dan tersekat-sekat, kaki dan tangan yang kesejukan serta peluh memercik
di dahi. ” Cikgu macam malu-malu masa
hari pertama di kelas” antara komen yang ditulis oleh salah seorang murid pada
minggu terakhir saya praktikal di sekolah tersebut.
Saya cuba
sedaya-upaya untuk mengatasi kelemahan diri ketika itu. Syukur, alhamdulillah saya mula selesa untuk
bercakap dihadapan kelas untuk minggu-minggu seterusnya. Segala ilmu pendidikan yang saya terima di
Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia cuba diaplikasikan sebaik
yang mungkin. Mereka juga menerima
kehadiran saya dengan hati yang terbuka.
Saya seronok mengajar, kami bermain dan bergembira sambil belajar di
dalam kelas.
Tetapi lain
pula cabarannya dengan Guru Pembimbing saya dan juga salah seorang Pembantu Makmal. Layanan yang saya terima daripada
kedua-keduanya agak dingin. Mereka
seolah-olah kurang senang dengan kehadiran saya. ” Mungkin mereka penat dan ada
masalah lain.” saya cuba memujuk hati sendiri.
Kemudiannya, saya teringatkan komen rakan saya itu, mungkin mereka
merasakan saya ni jenis yang sombong dan berlagak dek kerana sikap saya yang
agak pendiam dan kurang pandai bergaul dengan orang yang baru dikenali . Mati akal dibuatnya.
”Kak, saya
perlukan bahan-bahan ni untuk buat eksperimen esok. Boleh akak sediakan?” Tanya
saya kepada kakak Pembantu Makmal. ”Bahan
semua ada dalam bilik tu, cikgu ambillah sendiri.” Jawab Pembantu Makmal itu
sambil menunjukkan ke arah bilik yang dimaksudkan itu tanpa melihat saya dan
sibuk meneruskan aktiviti mengaitnya. ”Oh!
Macam tu ye? Terima kasih kak” Sekembalinya
di rumah sewa, saya berbual dengan seorang rakan yang sama-sama praktikal di
sekolah tersebut dan mengajar subjek yang sama.
”Awak dah pesan bahan yang diperlukan untuk eksperimen 4.1?” Tanya
saya. ”Dah. Kakak tu dah siapkan dan
letakkan di dalam bilik persediaan.” Jawab rakan saya dengan senang hati. Aik! Boleh pulak dia sediakan. Getus hati
kecil saya. Saya mula merasakan ada yang
tidak kena.
Masa terus
berlalu, masuk minggu kedua. Guru
Pembimbing saya tidak hadir ke sekolah kerana mengalami kemalangan ringan di
rumahnya. ” Itulah, buat dekat orang
sangat. Allah tu nak tunjuk.” Kata salah
seorang rakan guru tatkala mendengar berita Guru Pembimbing saya
kemalangan. Saya memandang muka guru
tersebut dengan penuh tanda tanya. ”Dia tak suka awak ambil kelas dia. Dah arahan daripada pentadbir, terpaksalah
dia bagi juga. Tu yang dia buat macam tu kat awak. Kita ni tak boleh buat macam tu kat orang. Allah nak balas sekejap je.” Sambung guru
tersebut dengan panjang lebarnya berserta nasihat. Saya cuma menganggukkan
kepala dan tersenyum. ”Oh! Begitu ceritanya.”
Kata hati kecil ini.
Sekembalinya
Guru Pembimbing saya daripada cuti, saya terus bertanyakan khabarnya dan cuba
berbaik-baik dengannya. Oleh itu,
tanpa rasa jemu saya cuba untuk berbual-bual mesra dengannya pada setiap
hari bagi membina hubungan yang baik. Lama-kelamaan kami menjadi rapat, ibarat
adik dengan kakak. Sehingga membuatkan
rakan-rakan pelatih yang lain cemburu dengan saya. Pada suatu hari, selepas habis waktu sekolah
beliau beriya-iya mengajak saya ke rumahnya.
Saya dan seorang lagi rakan mengikutnya balik ke rumah. Di rumahnya beliau menghidangkan bihun sup
kepada kami berdua. Saya bersyukur
sangat kerana kami dapat berbaik-baik dengan izin Allah.
Masuk minggu ke
tiga, saya masih bergelut di makmal sekolah.
Saya masih terkial-kial di dalam bilik
stor bahan membuka setiap kotak bagi mencari bikar, mangkuk pijar dan pelbagai
alat radas yang lain. Saya perlu siapkan
sendiri semua bahan yang diperlukan. Keadaan
bertambah rumit dan memenatkan apabila hari tersebut ada pemantauan daripada
Pensyarah. ”Tak boleh jadi ni.” Bisik hati kecil saya. Saya perlu menjalankan modus operandi yang
sama ke atas kakak Pembantu Makmal. Sama
seperti apa yang telah saya lakukan kepada Guru Pembimbing saya. Saya perlu atasi sikap saya yang kurang
bercakap itu. Kalau ada subjek
Perhubungan Sosial, mesti gagal ni. Saya kuatkan semangat, mohon kepada Allah SWT
untuk dilembutkan hati kakak Pembantu Makmal itu.
Pada suatu
tengah hari, seorang kakak Pembantu Makmal yang lain, menegur saya. ”Cikgu cari apa?” ”Oh! Saya tengah mencari
silinder penyukat.” Jawab saya. ”Ini
dia, Cikgu.” Kakak tersebut menghulurkan silinder penyukat kepada saya. ”Terima kasih kak.” Balas saya. ”Akak kesian tengok cikgu ni. Ada juga akak dengar cerita tentang ni. Cikgu bersabarlah ye. Kadang-kadang orang ni pelbagai ragam.” Akak
tersebut terus memberikan nasihat tanpa dipinta. Saya hanya menganggukkan kepala dan senyum
seperti biasa. Saya masih tidak tahu apakah punca sebenar kakak Pembantu Makmal
yang di sebelah pagi itu melayan saya sebegitu rupa. Dan sudah menjadi tabiat saya untuk tidak
bertanyakan lebih-lebih tentang sesuatu perkara. Teringat pula kelas Pensyarah Sosiologi
berkenaan perihal ragam manusia di sekolah.
Pada keesokkan
harinya, selepas habis kelas saya meluangkan masa ke bilik Pembantu Makmal
tersebut. Saya tebalkan muka, beranikan
diri untuk memulakan modus operandi yang telah dirancang. Kelakar pula rasanya, bunyinya seperti operasi
yang dijalankan oleh polis pula. Seperti
biasa beliau sedang mengait. ”Pandai
akak mengait” Saya memulakan bicara.
Beliau masih diam dan tidak mengendahkan saya. ”Ish! Macam mana nak buat ni, akak ni tak
layan la.” hati kecil saya mulai gusar.
Bukan mudah bagi seorang yang pendiam untuk memulakan bicara. Saya kuatkan hati dan teruskan berbicara ”
Akak mengait lapik kerusi ke? Mak saya pun ada mengait jugak.” ”Alah, takde la pandai sangat.
Saja-saja mengisi masa lapang.” Balas beliau acuh tak acuh. Hati saya
melonjak gembira. Dengan izin Allah kami
berbual sehingga habis waktu sekolah.
Beliau mula menerima kehadiran saya.
”Kalau cikgu
perlukan apa-apa alat radas, suruh je murid datang ambil ye. Cikgu tak perlu penat-penat jalan ke sini.” Saya membalas dengan anggukkan dan senyuman.
Begitulah hari-hari seterusnya. Saya
sudah tiada masalah dengan kakak Pembantu Makmal. Malah beliau kemudiannya, melayan
saya dengan baik sekali bagi hari-hari seterusnya.