Sunday, April 21, 2013

Tak kenal, maka tak cinta


“Awak ni kelakar la.”  Kata seorang rakan.  “Masa mula-mula kenal dulu, takut nak tegur.  Kalau tengok muka, macam jenis yang serius.  Ingatkan sombong, rupa-rupanya kelakar.”  Sambungnya lagi. ”Oh! Ye ke.”  Balas saya sambil tersengih.

Saya dah lali dengan komen-komen yang seperti itu sejak di bangku sekolah lagi.  Saya boleh dikategorikan sebagai pendiam ketika itu.  Sukar untuk saya memulakan bicara dengan orang yang baru dikenali.  Dalam erti kata yang lain, saya bukanlah seorang yang peramah.

Saya mula menyedari yang saya mempunyai masalah untuk bergaul mesra dengan orang yang baru dikenali semasa saya menjalani praktikal yang pertama di salah sebuah sekolah di negeri Johor. Ya! Saya seorang pendiam dan hanya bercakap apabila perlu.  Ironinya, cita-cita saya adalah menjadi seorang guru. Kelakar, bukan?

Pada mingu pertama, saya terpaksa bergelut untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling.  Saya perlu mengatasi kelemahan diri saya iaitu ‘bercakap’. Saya perlu bercakap, bercakap dan bercakap dihadapan hampir 40 orang murid yang baru dikenali. Bukan itu sahaja, malahan saya perlu bercakap dengan Guru Pembimbing, dengan Pembantu Makmal, dengan Pengetua, dengan staf sokongan di pejabat dan dengan rakan-rakan guru yang lain di bilik guru. Keadaan itu cukup asing buat saya.  Itulah cabaran pertama saya.

Masih jelas di ruang ingatan, betapa kelakarnya saya ketika pertama kali memperkenalkan diri di hadapan kelas.  Pertuturan yang kurang lancar dan tersekat-sekat, kaki dan tangan yang kesejukan serta peluh memercik di dahi.  ” Cikgu macam malu-malu masa hari pertama di kelas” antara komen yang ditulis oleh salah seorang murid pada minggu terakhir saya praktikal di sekolah tersebut.

Saya cuba sedaya-upaya untuk mengatasi kelemahan diri ketika itu.  Syukur, alhamdulillah saya mula selesa untuk bercakap dihadapan kelas untuk minggu-minggu seterusnya.  Segala ilmu pendidikan yang saya terima di Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia cuba diaplikasikan sebaik yang mungkin.  Mereka juga menerima kehadiran saya dengan hati yang terbuka.  Saya seronok mengajar, kami bermain dan bergembira sambil belajar di dalam kelas.

Tetapi lain pula cabarannya dengan Guru Pembimbing saya dan juga salah seorang Pembantu Makmal.  Layanan yang saya terima daripada kedua-keduanya agak dingin.  Mereka seolah-olah kurang senang dengan kehadiran saya. ” Mungkin mereka penat dan ada masalah lain.” saya cuba memujuk hati sendiri.  Kemudiannya, saya teringatkan komen rakan saya itu, mungkin mereka merasakan saya ni jenis yang sombong dan berlagak dek kerana sikap saya yang agak pendiam dan kurang pandai bergaul dengan orang yang baru dikenali .  Mati akal dibuatnya.

”Kak, saya perlukan bahan-bahan ni untuk buat eksperimen esok. Boleh akak sediakan?” Tanya saya kepada kakak Pembantu Makmal.  ”Bahan semua ada dalam bilik tu, cikgu ambillah sendiri.” Jawab Pembantu Makmal itu sambil menunjukkan ke arah bilik yang dimaksudkan itu tanpa melihat saya dan sibuk meneruskan aktiviti mengaitnya.  ”Oh! Macam tu ye? Terima kasih kak”  Sekembalinya di rumah sewa, saya berbual dengan seorang rakan yang sama-sama praktikal di sekolah tersebut dan mengajar subjek yang sama.  ”Awak dah pesan bahan yang diperlukan untuk eksperimen 4.1?” Tanya saya.  ”Dah. Kakak tu dah siapkan dan letakkan di dalam bilik persediaan.” Jawab rakan saya dengan senang hati.  Aik! Boleh pulak dia sediakan. Getus hati kecil saya.  Saya mula merasakan ada yang tidak kena.

Masa terus berlalu, masuk minggu kedua.  Guru Pembimbing saya tidak hadir ke sekolah kerana mengalami kemalangan ringan di rumahnya.  ” Itulah, buat dekat orang sangat.  Allah tu nak tunjuk.” Kata salah seorang rakan guru tatkala mendengar berita Guru Pembimbing saya kemalangan.  Saya memandang muka guru tersebut dengan penuh tanda tanya. ”Dia tak suka awak ambil kelas dia.  Dah arahan daripada pentadbir, terpaksalah dia bagi juga. Tu yang dia buat macam tu kat awak.  Kita ni tak boleh buat macam tu kat orang.  Allah nak balas sekejap je.” Sambung guru tersebut dengan panjang lebarnya berserta nasihat. Saya cuma menganggukkan kepala dan tersenyum. ”Oh! Begitu ceritanya.”  Kata hati kecil ini. 

Sekembalinya Guru Pembimbing saya daripada cuti, saya terus bertanyakan khabarnya dan cuba berbaik-baik dengannya.    Oleh itu,  tanpa rasa jemu saya cuba untuk berbual-bual mesra dengannya pada setiap hari bagi membina hubungan yang baik. Lama-kelamaan kami menjadi rapat, ibarat adik dengan kakak.  Sehingga membuatkan rakan-rakan pelatih yang lain cemburu dengan saya.  Pada suatu hari, selepas habis waktu sekolah beliau beriya-iya mengajak saya ke rumahnya.  Saya dan seorang lagi rakan mengikutnya balik ke rumah.  Di rumahnya beliau menghidangkan bihun sup kepada kami berdua.  Saya bersyukur sangat kerana kami dapat berbaik-baik dengan izin Allah.

Masuk minggu ke tiga, saya masih bergelut di makmal sekolah.  Saya masih terkial-kial di dalam bilik stor bahan membuka setiap kotak bagi mencari bikar, mangkuk pijar dan pelbagai alat radas yang lain.  Saya perlu siapkan sendiri semua bahan yang diperlukan.  Keadaan bertambah rumit dan memenatkan apabila hari tersebut ada pemantauan daripada Pensyarah.  ”Tak boleh jadi ni.”  Bisik hati kecil saya.  Saya perlu menjalankan modus operandi yang sama ke atas kakak Pembantu Makmal.  Sama seperti apa yang telah saya lakukan kepada Guru Pembimbing saya.  Saya perlu atasi sikap saya yang kurang bercakap itu.  Kalau ada subjek Perhubungan Sosial, mesti gagal ni.  Saya kuatkan semangat, mohon kepada Allah SWT untuk dilembutkan hati kakak Pembantu Makmal itu. 

Pada suatu tengah hari, seorang kakak Pembantu Makmal yang lain, menegur saya.  ”Cikgu cari apa?” ”Oh! Saya tengah mencari silinder penyukat.” Jawab saya.  ”Ini dia, Cikgu.” Kakak tersebut menghulurkan silinder penyukat kepada saya.  ”Terima kasih kak.” Balas saya.  ”Akak kesian tengok cikgu ni.  Ada juga akak dengar cerita tentang ni.  Cikgu bersabarlah ye.  Kadang-kadang orang ni pelbagai ragam.” Akak tersebut terus memberikan nasihat tanpa dipinta.  Saya hanya menganggukkan kepala dan senyum seperti biasa. Saya masih tidak tahu apakah punca sebenar kakak Pembantu Makmal yang di sebelah pagi itu melayan saya sebegitu rupa.  Dan sudah menjadi tabiat saya untuk tidak bertanyakan lebih-lebih tentang sesuatu perkara.  Teringat pula kelas Pensyarah Sosiologi berkenaan perihal ragam manusia di sekolah.

Pada keesokkan harinya, selepas habis kelas saya meluangkan masa ke bilik Pembantu Makmal tersebut.  Saya tebalkan muka, beranikan diri untuk memulakan modus operandi yang telah dirancang.  Kelakar pula rasanya, bunyinya seperti operasi yang dijalankan oleh polis pula.  Seperti biasa beliau sedang mengait.  ”Pandai akak mengait” Saya memulakan bicara.  Beliau masih diam dan tidak mengendahkan saya.  ”Ish! Macam mana nak buat ni, akak ni tak layan la.” hati kecil saya mulai gusar.  Bukan mudah bagi seorang yang pendiam untuk memulakan bicara.  Saya kuatkan hati dan teruskan berbicara ” Akak mengait lapik kerusi ke? Mak saya pun ada mengait jugak.” ”Alah, takde la pandai sangat.  Saja-saja mengisi masa lapang.” Balas beliau acuh tak acuh. Hati saya melonjak gembira.  Dengan izin Allah kami berbual sehingga habis waktu sekolah.  Beliau mula menerima kehadiran saya. 

”Kalau cikgu perlukan apa-apa alat radas, suruh je murid datang ambil ye.  Cikgu tak perlu penat-penat jalan ke sini.”  Saya membalas dengan anggukkan dan senyuman. Begitulah hari-hari seterusnya.  Saya sudah tiada masalah dengan kakak Pembantu Makmal. Malah beliau kemudiannya, melayan saya dengan baik sekali bagi hari-hari seterusnya.

Siapa sangka kami berdua berpelukan pada hari terakhir saya di sekolah tersebut.  Guru Pembimbing saya pula menghadiahkan sehelai kain batik yang unik sebagai tanda kenangan.  Saya seorang sahaja dalam kalangan Guru Pelatih , yang dapat hadiah daripada Guru Pembimbing. Gembiranya hati bukan kepalang.  Kain batik yang unik itu, masih ada dalam simpanan saya.  Bak kata pepatah, ’Tak kenal, maka tak cinta’.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...