...Bismillah
Hari ini 16/09/2011 merupakan Sambutan Hari Malaysia, di mana 48 tahun dahulu Malaysia telah berjaya dibentuk selepas 6 tahun Tanah Melayu merdeka daripada penjajah...diri ini ingin memetik puisi merdeka daripada laman iluvislam.com
Hari ini..
Merdeka, Merdeka, Merdeka..
Dilaungkan sekuat hati..
Dengan senyuman, keriangan, kepuasan..
Tanpa tangisan.
54 tahun dahulu..
Merdeka, Merdeka, Merdeka, Merdeka..
Dilaungkan dengan penuh rasa bangga..
Tatkala ayat keramat kedengaran..
Air mata rakyat kegembiraan mengalir..
Menitis ke tanah seperti memberi sinar dan harapan..
Kepada bangsa, agama dan Negara.
Kini 54 tahun berlalu..
Segala harapan dan impian 54 tahun dulu telah dicapai..
Ku bangga melihat semua kejayaan ini..
Tapi di sebalik kejayaan masih ada kegagalan..
Adakah anak muda sekarang cukup mengerti sengsara mencapai kemerdekaan? Keperitan?
Mereka tak mengerti, mereka lupa.
Kini..
Anak-anak muda ketawa meraikan kemerdekaan..
Mereka hanya lihat merdeka ilusi semata..
Buku, gambar, video dan sedikit cerita orang tua..
Apa yang mereka rasa?
Adakah jiwa mereka merasai kesusahan, keperitan, kesengsaraan 54 tahun dahulu?
54 tahun..
Masih tidak cukup untuk mengajar erti kemerdekaan..
Di jiwa insan generasi baru..
Apa akan jadi kepada kemerdekaan kita?
Adakah ia akan berkekalan selamanya?
Sedarlah kawan-kawanku..
Carila erti kemerdekaan..
Renungkanlah kesusahan, keperitan, kesengsaraan..
Rakyat 54 tahun dulu..
Jika kamu mahu 1000 tahun
Merdeka tetap merdeka.
Diubah suai daripada sajak asal :
'50 Tahun Merdeka'
Md. RZ... Julai 07
Membina Jiwa Merdeka Berasaskan Hadith Jibril
Ketika Rasulullah duduk bersama Umar dan sahabat-sahabat yang lain, datang seorang lelaki yang putih pakaiannya dan hitam rambutnya lantas merapati Rasulullah. Pada saat itu, lelaki tersebut bertanyakan hal Islam, Iman, Ihsan dan as-Sa’ah. Ini terakam dalam Hadith 40 Imam Nawawi pada hadith ke-2 yang menjadi asas kepada jawapan Rasulullah: ” Itulah Jibril a.s yang telah mendatangi aku untuk mengajarkan kamu pelajaran agama kamu.”
Jika diperhatikan secara mendalam kandungan hadith tersebut – yang menjadi ajaran agama – sudah tentu kita juga ingin mengetahui apakah kaitan kemerdekaan dengan hadith Jibril ini lantaran agama yang datang pada zaman Rasul adalah untuk memerdekakan ibadah sesama manusia kepada mengibadati Allah. Bagaimanakah sambutan Hari Kemerdekaan ke-50 relevan dengan hadith ini?
Sudah tentu, dalam melihat dan menghayati kemerdekaan ini, unsur Islam, Iman dan Ihsan ini perlu diterjemahkan kepada ruh yang tepat. Apakah yang terkandung dalam rukun Islam? Ia berkaitan dengan hubungan horizontal sesama makhluk. Boleh sahaja seseorang itu beriman kepada Allah dan tidak pernah mengucapkan dua kalimah syahadah pada mulutnya. Namun kerana ada hubungan sesama manusia ( hablum-minan- naas) yang perlu diambil kira dalam menguruskan hal dunia, kalimah syahadatain ini perlu dinyatakan dengan kata-kata bagi yang berkemampuan.
Melihat kepada perspektif ini, sememangnya ada beberapa perkara yang perlu ditekankan sempena kita menyambut hari kemerdekaan untuk sama-sama dijadikan pedoman.
Rukun Islam dan Merdeka
Dua kalimah syahadah – Apabila disebutkan dua kalimah syahadah, kita perlu menyatakan dengan jelas dan terang apakah akidah yang tersimpul dalam hati manusia. Akidah kita perlu menuju kepada kemerdekaan daripada menghambakan diri sesama manusia kepada menghambakan diri kepada Allah. Sebagaimana dalam puisi Mencari Damai Abadi oleh Perdana Menteri kelima Malaysia, ada ketenangan dengan menjadikan Rabb (Tuhan-Allah) sebagai teman dan wali.
Solat – Dengan latihan harian 5 kali sehari ini, jiwa kita akan merdeka daripada kekangan dunia kepada produktiviti serta kecemerlangan di dunia serta akhirat. Individu yang bersolat akan berdisiplin, menjaga makanan minuman, adab pergaulan, menguruskan masa dengan baik dan banyak kesan lain. Jiwa merdeka perlu mempunyai sifat ini.
Puasa – Lambaian dunia memang menggiurkan apatah lagi ketika dunia diserang dengan budaya hedonisme dan materialisme sebagai refleks mentaliti berfikir yang amat lemah. Hanya jiwa dan mental yang mapan berasaskan iman mampu menghargai sesuatu yang mencakupi dimensi lebih jauh seperti nikmat syurga dan azab neraka. Puasa wajar menjadi elemen yang melonjakkan sensitiviti dan keprihatinan kepada dimensi lebih jauh kerana bagi individu yang kenyang, beliau tidak akan mampu merasai derita kelaparan. Jiwa merdeka mempunyai jiwa yang sensitif – bukan berbuat apa sahaja kerana mana mungkin dianggap merdeka jiwa seseorang yang masih melutut di tepi pinggan bergelak tawa padahal ada jiran lain yang kelaparan. Jiwa merdeka tidak terjajah dengan makanan sedap serta kerusi empuk serta sirap limau yang sejuk.
Zakat – Dengan mengeluarkan zakat, musnahlah kekotoran dalam harta dan merdekalah tuan milik daripada hutang kepada yang berhak menerima bahagian zakat. Ia laksana kita terambil lebih mengambil makanan di satu jamuan yang besar – maka sewajarnya kita mengembalikan semula kepada yang berhak. Jiwa merdeka adalah jiwa yang amanah mengembalikan hak kepada empunya dan bukan sekadar buat tidak tahu.
Haji – Dengan memahami ruh haji ini, tidak akan layak seseorang itu ke bumi Mekah jika beliau tidak berkemampuan dari sudut ekonomi dan persediaan diri. Jiwa yang merdeka adalah individu yang merdeka ekonominya dan tidak sekadar mengharapkan individu lain menjadi sumber rezeki tetapi meletakkan kebergantungan yang amat tinggi kepada Allah. Persediaan diri ke haji memberi implikasi bahawa sifat kemandirian perlu melatari kehidupan jiwa individu yang merdeka. Dengan memahami konsep ini, individu merdeka akan berusaha bersungguh-sungguh dengan tawakal yang amat tinggi agar jiwa tidak terikat dengan individu tertentu yang nantinya akan menghilangkan fokus mengabdikan diri kepada Allah.
Rukun Iman dan Merdeka
Jika rukun Islam sudah menjelaskan banyak ciri jiwa yang merdeka, maka rukun iman yang menyentuh aspek vertikal lebih-lebih lagi menaik-tarafkan jiwa merdeka agar apa yang dilaksanakan mempunyai dimensi lebih luas – bukan sekadar sesama manusia.
Beriman kepada Allah – jiwa merdeka akan merujuk kepada Pencipta alam ini sahaja untuk mencari keredaan dan bukannya masih merujuk kepada sesama manusia hatta menyentuh pada aspek perundangan dan kehidupan seharian. Apabila seseorang berpegang kepada ajaran selain daripada Allah, ia masih lagi terbelenggu dengan budaya fikir manusia yang jumud dan terhad. Jiwa begini masih tidak merdeka kerana berpaksikan undang-undang manusia yang mempunyai keterbatasannya.
Beriman kepada Malaikat- Jiwa merdeka sentiasa bersama makhluk lain untuk melaksanakan tugas terbaik sebagai khalifah. Malaikat adalah ‘penasihat’ bagi jiwa merdeka sehinggakan apa-apa sahaja yang bersalahan dengan tujuan Pencipta mencipta manusia, individu tersebut akan membetulkannya.
Beriman kepada Kitab – Dalam menempuh kehidupan seharian, jiwa merdeka akan meletakkan manual kehidupan berasaskan apa yang paling lurus dan singkat. Jalan yang lurus, sebagaimana dinyatakan dalam surah al-Fatihah, adalah jalan yang paling singkat dan cepat – sebagaimana dinyatakan oleh Muhammad al-Ghazali dalam The Thematic Commentary of al-Quran. Apabila manusia memilih jalan lain, ia bersifat bengkang-bengkok dan lambat sampai ke destinasi kebahagiaan di dunua dan akhirat.
Beriman kepada Rasul – Jika kita merayakan hari kemerdekaan bagi pejuang yang berkorban selama 470 tahun ini, kita seharusnya menghargai perjuangan insan terdahulu dalam menegakkan kemerdekaan dan kebenaran. Jiwa merdeka mempunyai model ikutan yang telah terbukti kejayaannya sepanjang sejarah sehingga diakui oleh tokoh seperti Bernard Shaw dan Michael Hart. Siapakah model ikutan jiwa merdeka? Sudah tentu Rasul yang berjuang sepanuh hati untuk menegakkan keamanan bagi manusia.
Beriman kepada hari Akhirat – Jiwa merdeka memandang masa depan yang ceria dan gemilang, bukan sekadar 2020 tetapi menjangkau hari akhirat. Tidak ramai yang mampu menghargai hari akhirat kerana ia tidak jelas kelihatan. Namun benarkah 2020 pasti wujud jika hari akhirat disangsikan?
Beriman kepada qadha’ qadar – Apa yang baik dan buruk datang dari Tuhan kerana semuanya adalah di bawah tadbir Ilahi. Oleh itu, bagi jiwa merdeka, individu ini akan sentiasa bersyukur dan berusaha sedaya upaya dalam menyelesaikan cabaran. Jika jiwa ini sentiasa tertekan dan tidak pasti ke manakah perlu dihadapkan wajahnya ketika bermasalah, ia masih belum merdeka. Memanglah manusia menghadapi masalah, tetapi jiwa merdeka akan cepat menyelesaikannya dengan bantuan Pencipta Yang Agung.
Rukun Ihsan dan Merdeka
Apabila kita menyelusuri rukun ihsan – engkau beribadat sebagaimana engkau nampak Allah, atau jika tidak, engkau sedar Allah nampak amalan kamu – ia membawa kepada konsep itqaan atau bersungguh-sungguh. Hidup yang penuh kesungguhan dan semangat akan menjadikan hidup benar-benar merdeka. Kemerdekaan Malaysia yang ke 54 ini adalah hasil kesungguhan kerana tiada siapa yang mampu melaungkan semangat di tengah hujanan bom dan peluru komunis serta penjajah. Adalah amat penting jiwa merdeka memastikan kita bersifat ihsan dengan takrid kita menuju Allah.
Kesimpulannya, kandungan hadith Jibril ini amat besar bagi setiap insan yang ingin membina negara Malaysia yang berjiwa merdeka. Kitalah generasi jiwa merdeka yang diharapkan.
Negara kita Malaysia telah merdeka. Transformasi negara juga berjaya dibentuk, insyaAllah. Bagaimana pula dengan kita? adakah jiwa jita telah merdeka? adakah iman kita telah merdeka? adakah kita telah merdeka daripada belenggu syaitan? adakah transformasi diri telah berjaya dibentuk? sama2 lah kita renung-renungkan...wallahua'lam..moga kita semua bersyukur dengan nikmat dan rahmatNya di atas kemerdekaan yang dikecapi hari ini dan moga diri kita merdeka daripada sifat-sifat negatif, insyaAllah. Barakallah feekum. Amin.
No comments:
Post a Comment