Saturday, December 14, 2013

Bukan Lagi Rahsia ~SIRI 4: Soalnya hati ~

Majlis perkahwinan Ira telah berlangsung dengan meriahnya, alhamdulillah.  Kuat jodoh mereka berdua ni. Itu la kan, jodoh kita ni dah memang tertulis di Luh Mahfuz kata ustaz. Kita cuma perlu bersabar dan berdoa.  Ada yang bercinta dengan orang lain, bertunang dengan orang lain dan berkahwin dengan orang lain. Itulah namanya jodoh.

"Along ni tak pandai nak berkawan ke?" tanya abah. "Cuba la berkawan. Ini tak, asyik pergi sekolah balik sekolah. Terperap je kat rumah." sambung abah lagi.  Saya sengih je la.  Abah lupa agaknya, anaknya yang sorang ni pernah berkawan.  Anaknya yang sorang ni pernah bercinta.  Percintaan ala-ala 'Titanic' gitu, "you jump! I jump" ala-ala 'Romeo & Juliet' pun ada. Hehehe.  Tapi pun itu dulu.  Apa yang saya faham berkaitan dengan konsep cinta pada masa itu adalah 'Wajib bercinta sebelum berkahwin'. Bila sentuh bab-bab 'Soalnya hati' ni, saya ni lemah sikit. 

Setelah menemui beberapa siri kegagalan bercinta dan tidak termasuk cinta monyet mahupun yang bertepuk sebelah tangan, saya mula merenung kembali perihal cinta ini.  Cinta adalah sesuatu yang indah ciptaan Allah SWT.  Cinta sepatutnya tidak menyakitkan.  Cinta sepatutnya membahagiakan.  Akan tetapi, mengapa cinta mengundang sengsara buat saya, mengundang kekecewaan buat saya. Di manakah silap saya? Saya mula mencari jawapannya.  Saya selongkar cinta daripada sudut pandangan Islam.  Saya mencari cinta sesama manusia bagaimanakah yang diredhai Allah?  Agak terpukul dengan apa yang saya temui.  Islam menganjurkan kita bercinta selepas akad.  Malah ustaz-ustaz menggalakkan pasangan-pasangan yang telah berkahwin agar bertaubat bagi yang telah bercinta sebelum akad.  Saya menjadi bingung dan hairan, macam mana nak berkahwin seandainya tidak bercinta terlebih dahulu?

Tahun demi tahun berlalu, akhirnya saya mula faham konsep bercinta yang dianjurkan oleh Islam.  Saya pun mula menyimpan hasrat untuk 'bercinta selepas akad'.  Sebab tu la apabila ada yang menghulurkan cinta, saya katakan kepadanya adalah lebih baik kita berkawan sahaja dan sekiranya ada jodoh di antara kita, kita akan bercinta selepas akad.  Nampak macam mudah kan?, tapi pun hanya Allah sahaja yang tahu bukan mudah apabila melibatkan soal hati ni.  Hati kena kuat, iman kena kuat.  Siapa yang tak suka dicintai dan menyintai kan?  Orang gila pun suka. Hehehe.

"Along tak nak bercinta-cinta la mak, along nak terus kahwin je" saya meluahkan apa yang terpendam di dalam hati ini. "Hmmm...ada pulak fikir sampai ke situ.  Kalau ada yang nak berkawan tu, kawan je la jangan pulak menolak." balas mak.  Saya tahu, mak risaukan saya.  Lagi risau, bila saya keluarkan kenyataan tu. Pada fikiran mak, saya ni dah berputus asa dalam soal jodoh ni.  Saya dah tak nak berkenalan dengan mana-mana lelaki.  Berputus asakah saya? Saya sendiri pun keliru.  Hehehe.

Bukan Lagi Rahsia ~SIRI 3: Bila lagi? ~

Saya uruskan persiapan majlis perkahwinan Ira, seolah-olah uruskan majlis sendiri.  Segala-galanya biarlah kemas dan teratur.  Kalau boleh saya nak buat yang terbaik untuk Ira. Maklum la, dia kan adik bongsu kami, majlis penutup la katakan.  Kadang-kadang tu rasa macam diri sendiri pulak yang nak berkahwin tapi apakan daya belum sampai jodoh lagi.  Berangan je la kan. Hehehe.

Masa terus berlalu. Alhamdulillah dengan kesibukan bekerja, segala persiapan untuk Majlis Perkahwinan Ira telah berjaya diatur rapi.  Katering, door gift untuk tetamu, pasukan kompang dan segala urusan yang lain telah diuruskan bersama-sama dengan mak. Dua minggu sebelum cuti sekolah, saya mula mengedarkan kad jemputan kepada semua kawan-kawan di sekolah.  Ada yang terkejut semasa menerima kad, sebab ingatkan saya yang akan berkahwin.

"La, kak ingatkan Wada yang nak kawin." "Kakaknya bila lagi? Adiknya dulu ni." Senyum, senyum dan senyum.  Soalan-soalan macam ni dah biasa sangat-sangat kepada mereka-mereka yang lewat berkahwin.  Biasa-biasa pun ada yang berbisa jugak tau. Misalnya "Anak aku dah nak masuk tiga orang ni, ko bila lagi?  "Cepat la kahwin, takkan nak membujang sampai ke tua kot?" "Memilih sangat ni, tu yang tak kahwin-kahwin sampai sekarang."  Untuk maklumat kalian semua, soalan-soalan sedemikian, agak mengguris hati orang-orang bujang diluar sana.  Rasa macam nak je balas balik setiap pertanyaan tu dengan kata-kata yang paling pedas, tapi pun abah dan mak tak ajar saya begitu. Sebab tu la saya hanya senyum setiap kali ada bertanya soal jodoh ni. Atau pun saya akan berkata "Doa-doakanlah ye, supaya saya cepat bertemu jodoh."

Hari yang ditunggu telah tiba, hari Majlis Perkahwinan Ira.  Sanak-saudara semuanya berkumpul di Kedah, meriah sungguh.  Selain pengantin, saya turut menjadi fokus.  Mental kena kuat ye, pesanan kepada mereka-mereka yang menghadapi situasi seperti saya. "Ate, kamu bila lagi? takde ke calonnya?" tanya opah.  Sayu je bunyinya.  Mengharap betul opah, agar cucunya yang dah lanjut usia ni berumahtangga. "Kalau boleh tu, kamu kahwin le sementara opah larat berjalan lagi ni." sambung opah lagi. Sambil senyum saya menjawab "Belum ada calonnya opah. Opah carikanlah...hehehe." sengaja saya bergurau dengan opah. "Ate kita pulak disuruh mencarinya." balas opah.  Bergurau, bergurau jugak tapi pun memang takde calon.  Setakat berkawan tu ada la tapi pun takde yang nak masuk meminang.  Saya dah bertekad sejak tahun 2010, tak nak bercinta sebelum nikah.  Setelah membaca beberapa artikel berkaitan cintan-cintun dalam Islam maka saya mengambil keputusan tersebut.

Oh! Ye, bukan setakat opah yang bertanya "bila lagi?" ramai lagi. Tak cukup secara berdepan, di dalam facebook pun tidak kurang hebatnya. Apatah lagi apabila gambar-gambar sekitar majlis perkahwinan Ira dimuatnaik.  Kawan-kawan, anak-anak murid semuanya bertanyakan "bila lagi".  Saya hanya menjawab "Entah la. Saya sendiri tak tahu bila. Tarikhnya masih menjadi rahsia Allah."

Bukan Lagi Rahsia~ SIRI 2: Majlis Perkahwinan siapa sebenarnya ni? ~

Seperti yang telah diceritakan sebelum ini, salah satu sebab perancangan untuk mengerjakan umrah ditangguhkan adalah kerana memberi laluan kepada perkahwinan adik bongsu kami, Ira yang akan diadakan pada bulan Jun. Perkara yang baik tak elok ditangguh-tangguhkan kan?

Memandangkan Ira bekerja di Kuala Lumpur, maka agak sukar untuknya menguruskan semuanya kerana majlis akan diadakan di Kedah.  Oleh itu, secara tidak rasminya, ahli keluarga melantik saya untuk menguruskan beberapa hal-hal berkaitan perkahwinan Ira.  Oleh yang demikian, tahun 2013 adalah tahun yang agak sibuk bagi saya. Bukan senang tau, nak uruskan segala persiapan perkahwinan ni.  Mujur la ada internet, sekurang-kurangnya ringan la sikit beban. Ira mencari sendiri butik pengantin yang berada di dalam talian.  Tanya je pakcik google, tersenarailah semua butik-butik pengantin yang ada di daerah ini.

Penat jugak nak uruskan majlis perkahwinan ni.  Almaklum la, majlis sendiri pun tak pernah diurus inikan pula majlis adik bongsu. Bulan Jun adalah bulan cuti sekolah, makanya dijangkakan ramai ya g akan mendirikan rumahtangga pada bulan tersebut.  Seawal bulan Januari, saya dah ke butik perkahwinan yang dipilih oleh Ira untuk menempah pakej perkahwinan yang ditawarkan.  Takut jugak kalau tempahan dah penuh.  Saya memilih hiasan hantaran, hiasan bilik tidur, jenis kek dan saya juga yang memilih beberapa pasang baju pengantin untuk Ira dan bakal suaminya.  Setiap kali menjejakkan kaki ke butik pengantin untuk berbincang dengan tuan punya butik berkaitan dengan majlis Ira, saya kadang-kadang tu terlupa yang saya ni uruskan majlis Ira dan bukannya majlis sendiri.  Adik saya tu pulak, kalau ditanya mesti jawapannya "Ikut Along la, Ira tak kisah macam-macam mana pun ok".  Dia takde apa-apa saya pulak yang over. "Yang tu tak cantik la mak.", "Tak best la kalau pilih yang tu." itulah ayat-ayat yang saya ucapkan kepada mak setiap kali memilih barang-barang perkahwinan untuk Ira.

Jangan tak tahu ye, pada borang tempahan pakej perkahwinan tu tertulis nama dan nombor telefon saya. Bukan apa, kalau ada apa-apa masalah mudahlah pihak mereka untuk menghubungi saya.  Kalau tanya Ira pun, mana la dia tahu sangat sebab saya yang berurusan dengan mereka.  Butik Pengantin ni, akan kemaskini status tempahan di blog dan akaun facebook mereka, yang lawaknya terpampang nama saya yang telah menempah pada 1 Jun 2013.  Majlis Perkahwinan siapa sebenarnya ni?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...