Saturday, December 14, 2013

Bukan Lagi Rahsia ~SIRI 3: Bila lagi? ~

Saya uruskan persiapan majlis perkahwinan Ira, seolah-olah uruskan majlis sendiri.  Segala-galanya biarlah kemas dan teratur.  Kalau boleh saya nak buat yang terbaik untuk Ira. Maklum la, dia kan adik bongsu kami, majlis penutup la katakan.  Kadang-kadang tu rasa macam diri sendiri pulak yang nak berkahwin tapi apakan daya belum sampai jodoh lagi.  Berangan je la kan. Hehehe.

Masa terus berlalu. Alhamdulillah dengan kesibukan bekerja, segala persiapan untuk Majlis Perkahwinan Ira telah berjaya diatur rapi.  Katering, door gift untuk tetamu, pasukan kompang dan segala urusan yang lain telah diuruskan bersama-sama dengan mak. Dua minggu sebelum cuti sekolah, saya mula mengedarkan kad jemputan kepada semua kawan-kawan di sekolah.  Ada yang terkejut semasa menerima kad, sebab ingatkan saya yang akan berkahwin.

"La, kak ingatkan Wada yang nak kawin." "Kakaknya bila lagi? Adiknya dulu ni." Senyum, senyum dan senyum.  Soalan-soalan macam ni dah biasa sangat-sangat kepada mereka-mereka yang lewat berkahwin.  Biasa-biasa pun ada yang berbisa jugak tau. Misalnya "Anak aku dah nak masuk tiga orang ni, ko bila lagi?  "Cepat la kahwin, takkan nak membujang sampai ke tua kot?" "Memilih sangat ni, tu yang tak kahwin-kahwin sampai sekarang."  Untuk maklumat kalian semua, soalan-soalan sedemikian, agak mengguris hati orang-orang bujang diluar sana.  Rasa macam nak je balas balik setiap pertanyaan tu dengan kata-kata yang paling pedas, tapi pun abah dan mak tak ajar saya begitu. Sebab tu la saya hanya senyum setiap kali ada bertanya soal jodoh ni. Atau pun saya akan berkata "Doa-doakanlah ye, supaya saya cepat bertemu jodoh."

Hari yang ditunggu telah tiba, hari Majlis Perkahwinan Ira.  Sanak-saudara semuanya berkumpul di Kedah, meriah sungguh.  Selain pengantin, saya turut menjadi fokus.  Mental kena kuat ye, pesanan kepada mereka-mereka yang menghadapi situasi seperti saya. "Ate, kamu bila lagi? takde ke calonnya?" tanya opah.  Sayu je bunyinya.  Mengharap betul opah, agar cucunya yang dah lanjut usia ni berumahtangga. "Kalau boleh tu, kamu kahwin le sementara opah larat berjalan lagi ni." sambung opah lagi. Sambil senyum saya menjawab "Belum ada calonnya opah. Opah carikanlah...hehehe." sengaja saya bergurau dengan opah. "Ate kita pulak disuruh mencarinya." balas opah.  Bergurau, bergurau jugak tapi pun memang takde calon.  Setakat berkawan tu ada la tapi pun takde yang nak masuk meminang.  Saya dah bertekad sejak tahun 2010, tak nak bercinta sebelum nikah.  Setelah membaca beberapa artikel berkaitan cintan-cintun dalam Islam maka saya mengambil keputusan tersebut.

Oh! Ye, bukan setakat opah yang bertanya "bila lagi?" ramai lagi. Tak cukup secara berdepan, di dalam facebook pun tidak kurang hebatnya. Apatah lagi apabila gambar-gambar sekitar majlis perkahwinan Ira dimuatnaik.  Kawan-kawan, anak-anak murid semuanya bertanyakan "bila lagi".  Saya hanya menjawab "Entah la. Saya sendiri tak tahu bila. Tarikhnya masih menjadi rahsia Allah."

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...