Thursday, October 20, 2011


PGM Sarawak rampas RM1.8j balak



KUCHING 18 Okt. - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Lima Sarawak mencatatkan enam kes tangkapan kayu balak haram di bawah Akta Perhutanan 1984 dengan nilai rampasan keseluruhan lebih RM1.8 juta sejak Januari lalu.


Komander PGM Wilayah Lima Sarawak, Asisten Komisioner Mohd. Saleh Mat Jani berkata, kes terbaru adalah tangkapan menerusi Ops Pensura apabila empat anggota diketuai Sarjan Zainudin Jamal menahan sebuah kapal di kawasan perairan Tanjung Engkilo, Batang Rajang di Sibu pada pukul 5.40 pagi semalam.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas kapal yang dikendalikan oleh tiga krew warga tempatan itu mendapati ia membawa muatan 372 batang kayu balak pelbagai jenis dan saiz dengan anggaran nilai rampasan termasuk kapal berkenaan ialah RM386,000.

"Siasatan awal polis mendapati kapal tersebut telah membawa muatan balak tanpa sebarang dokumen sah dan kita percaya kayu berkenaan diperoleh secara haram.

"Polis mendapati modus operandi pihak terbabit adalah dengan melakukan tanda pada kayu-kayu balak tersebut seolah-olah ia sudah mempunyai cop pengesahan bagi mengaburi pihak berkuasa. Namun kita dapati tanda itu adalah palsu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PGM Wilayah Lima di Bintawa, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Saleh memberitahu, pihaknya telah menahan tiga krew kapal terbabit untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 85 Akta Perhutanan 1984 kerana membawa atau memiliki kayu balak secara haram.
Sementara itu katanya, kayu balak yang telah dirampas itu akan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Sarawak untuk tindakan lanjut.

"PGM Wilayah Lima Sarawak akan terus melakukan rondaan serta pemantauan di kawasan sungai di negeri ini bagi memastikan kegiatan kayu balak haram ini tidak berlaku.
"Jika orang ramai mempunyai maklumat mengenai kegiatan seumpama itu, mereka boleh segera melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis supaya tindakan pantas boleh diambil bagi membendung gejala berkenaan," ujarnya.

sumber: utusan malaysia

>> Kami berbangga dengan abah.  Moga Allah terus memberi kekuatan buat abah dan pasukan PGM bagi menjaga keselamatan negara. Barakallah feekum....

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...