Friday, November 5, 2010

ZIKRULLAH


18.
Hendaklah hati & lidah sentiasa sibuk dengan berzikir didalam apa jua kegiatan sama ada berjalan, duduk atau bekerja. Berzikirlah ‘Lailahailallah’ sebagai amalan tetap dan berkekalan.

21. Tatkala Haid, jangan tinggalkan zikrullah. Meninggalkan zikir akan mengeraskan hati dan melayukan cahaya rohaniah bagi hati.

dipetik daripada: Amalan harian yang perlu dijaga dengan istiqomah
-----------------------------------------------------------------------------------------------------
ADAB-ADAB BERZIKIR

Adab Sebelum Zikir :

Bertaubat dari segala maksiat yang telah dilakukan.
Mandi dan mengambil wudhu’
Diam dan tetap supaya terhasil kebenaran antara lidah dan hatinya.
Mengosongkan fikiran terhadap dunia dan menumpukan hanya kepada Allah semata-mata.

Adab Semasa Berzikir :

Duduk di tempat yang suci seolah-olah hendak mendirikan solat.
Meletakkan kedua tangan ke paha.
Menyembur bau-bauan yang harum dan suci di tempat zikir.
Memakai pakaian yang bersih.
Seeloknya memilih tempat yang agak kelam ( tidak terlalu terang ).
Memejamkan kedua mata.
Berniat ikhlas semata-mata mencari keredhaan Allah.
Memilih kalimah zikir di mana kalimah zikir yang paling afdhal ialah tahlil atau paling tidak, berzikir dari nama-nama Allah ( asma’ul-husna ).
Menghadirkan maksud kalimah zikirnya ke dalam hati.
Menjauhkan sikap ragu dan was-was.


Adab-Adab Selepas Zikir :
Duduk diam seketika bagi merasakan faedah dari munajat zikir yang dilakukannya.
Menahan nafas dari keluar masuk sebagai latihan mengawal hawa nafsu.
Akhir sekali seseorang yang baru selesai berzikir dilarang segera meminum air.

Inilah sebahagian amalan para salafussoleh dalam usaha mendekatkan diri kepada Tuhan Rabbul Jalil. Sesungguhnya mereka berusaha siang dan malam mencari keredhaan Allah Yang Maha Penyayang.

Tatacara berzikir menurut ulama Tasauf, Syeikh Daud al-Fathani

Tatacara berzikir ini pula yang disalin dari naskhah tulisan tangan Sheikh Daud al-Fathani adalah sebagai berikut:

“Duduk bersila menghadap ke arah kiblat. Kedua tangan diletakkan di atas kedua lutut. Mata dipejamkan. Setelah itu diawali dengan lafaz ‘Laa’ dari bawah susu sebelah kiri, yang terletak hati ‘sanubari’, qasadnya ialah menarikkan pada hati sanubari daripada ‘aghyar dan maa siwallaahi Taala’.

Ditarik terus hingga memanjang bunyi lafaz ‘Laa’ hingga sampai ke bahu sebelah kanan, terus dilemparkan dengan lafaz ‘ilaaha’ dengan meniatkan bahawa melemparkan sekelian yang tersebut ke belakang.

Sesudah itu lalu lafaz ‘illa’ di atas bahunya yang kanan. Terakhir sekali memukulkan lafaz ‘Allah’ dengan sekeras-kerasnya ke dalam hati. Demikianlah zikir pada setiap kalinya, bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah. Dengan memuji kepada Allah telah talkinkan zikir Syathariyah ini serta dengan baiahnya dan ‘Labsul Khirqati’ dan kaedah yang tersebut itu oleh faqir ilallahi Taala Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani……”.

Sheikh Daud bin Abdullah al- Fatani berpendapat bahawa pimpinan seorang sheikh Mursyid sangat penting, beliau menulis sebagai berikut :

“Ketahuilah! Kadang-kadang seorang Salik yang belajar itu melihat bahawa tiada sesuatu jalan untuk sampai kepada Allah, dia ragu dengan bermacam-macam amalan yang sangat banyak. Kadang-kadang dia tercengang dengan banyak ilmu pengetahuan yang telah dikuasainya. Apabila murid yang Salik itu mempunyai sheikh yang Arif Billah (Ahlil Hakikat), maka hendaklah dia kembali kepada sheikhnya dan berpegang teguh atas petunjuknya”.

Dalam bahagian lain beliau menulis: “Dan dengan benar orang yang berzikir iaitu benar murid serta sheikhnya sampai ia pada Martabat Siddiqiyah, hendaklah ia mengemukakan apa-apa yang terlintas di hatinya dari perkara yang jahat dan yang baik.

Berkata sebahagian orang yang arif: “Tiada syarat sheikh itu mengetahui dan melihat atas batin murid, tetapi sebahagian dari syarat murid ialah bahawa memberitahu kepada sheikhnya sekelian yang terlintas pada hatinya…”.

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani menulis selanjutnya: “Bahawa dia (sheikh) adalah penolongnya dari pertolongan Nabi Muhammad s.a.w. Selamanya berhadap ke hadrat Tuhannya, apabila dikerjakan maka limpah pertolongan Ilahiyah daripada Allah pada hati penghulu kita dan dari hati penghulu kita - Nabi Muhammad s.a.w -kepada sekelian hati pada sheikh (Masyaikh), dari satu kepada satu sampai kepada hati yang melakukan zikir. Bahawa yang demikian itu menjadi pertolongan dan pemberian Allah”.

Perlu diketahui oleh setiap penganut tarekat, terutama Tarekat Syathariyah adalah mengenai adabnya. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani mengatakan bahawa adab zikir itu terbahagi kepada tiga iaitu:

a. Adab sebelum melakukan zikir.

b. Adab ketika berzikir.

c. Adab setelah berzikir.

Keterangan Sheikh Daud yang diringkaskan oleh penulis daripada kitab Dyiaa’ul Murid mengenai adab-adab berzikir adalah sebagai berikut:

a. Adab sebelum melakukan zikir

1. Taubat nasuha, iaitu taubat daripada sesuatu yang tidak memberi faedah kepada agama yang tersalah dari perkataan, perbuatan dan kehendak yang tidak muafakat dengan syarak.

2. Suci badan daripada hadas-hadas besar dan hadas kecil dan kekotoran pada tubuh dan pakaian. Hendaklah mandi dan mengambil air sembahyang serta membersihkan pakaiannya.

3. Mengharumkan pakaian dengan bau-bauan dan menyucikan mulut dengan bersugi (siwak).

4. Dengan niat menegakkan perintah Allah bukan kerana lainnya kerana mengambil faedah dunia dan keinginan hawa nafsu.

5. Membesarkan Allah. Ketika menyebut Allah terasa benar akan kebesaran dan kehebatan-Nya.

b. Adab ketika berzikir

Adapun adab yang dituntut ketika berzikir itu lima belas perkara, iaitu :

1) Hendaklah dia duduk di tempat yang suci seperti duduk dalam sembahyang bagi orang yang mubtadi, duduk bersila bagi orang yang muntahi.

2) Meletakkan kedua telapak tangan di atas kedua lutut.

3) Menghadap ke kiblat kalau dia berzikir seorang diri, jika berjemaah hendaklah membuat lingkaran keliling.

4) Memakai wangi-wangian di tempat duduknya kerana tempat berzikir adalah tidak sunyi daripada Malaikat dan jin yang beriman.

5) Berkekalan ikhlas iaitu semata-mata kerana perintah Allah bukan kerana lainnya.

6) Benar zikirnya pada zahir dan batin hingga bersamaan antara keduanya. Juga benar hati terhadap sheikhnya pada zahir dan batin.

7) Sedapat-dapatnya hendaklah sekelian yang dimakan dan yang dipakai adalah halal.

8) Duduk di tempat yang kelam iaitu antara terang dan gelap.

9) Memejamkan mata.

10) Menghadirkan makna zikirnya setiap kali mengucapkannya.

11) Dinafikan tiap-tiap yang maujud pada hatinya selain daripada Allah.

12) Diucapkan dengan nyaring (jahar).

13) Dengan kuat yang sempurna. Iaitu ditarikkan dari tengah kepala hingga ke anak jarinya.

14) Terkenang kepada sheikhnya.

15) Menjauhkan lafaz yang lahan yang mengubahkan maknanya.

c. Adab selepas berzikir

Adapun adab kemudian daripada zikir itu lima perkara:

1) Menahan nafas beberapa kali kerana yang demikian itu lebih cepat menerangkan hati dan membukakan hijab (dinding), dan memutuskan khuatir nafas dan syaitan.

2) Jangan meminum air selepas dari berzikir hingga berselang beberapa saat, kerana zikir itu bersifat panas, rindu dan menaikkan kegemaran kepada yang diingat (Allah) inilah tujuan zikir, sedangkan minum itu memadamkan yang demikian itu. Juga kalau minum adalah bertentangan dengan ilmu kedoktoran kerana boleh mengakibatkan penyakit muntah.

3) Diam beberapa ketika sesudah berzikir serta dengan khusyuknya. Perkara ini ulama membahagikannya kepada tiga adab iaitu :

a. Seakan-akan dia berhadap dengan Tuhannya, bahawa Tuhannya melihat kepadanya.

b. Mengheningkan cipta (menumpukan fikiran) seakan-akan sehelai roma pun tidak bergerak seumpama kucing tatkala mengintai tikus.

c. Menafikan sekalian khuatir dan melaksanakan zikir itu di dalam hati.

4)Meniatkan bagi wirid zikir. Mudah-mudahan menghidupkan hati sehingga tercapai cahaya makrifatullah sehingga diperolehinya sekalian sifat kamalat (kesempurnaan) seumpama zuhud dan lain-lain.

5) Mensyukuri akan nikmat-nikmat Allah. Bahawa Allah telah memudahkannya melakukan suruhan-Nya dengan mengucap istighfar daripada taqsir yang hasil daripadanya tiga kali, seperti katanya: “Aku memohon pengampunan dari Allah dari segala taqsirku pada ibadatku sebilang-bilang nafasku”.

sumber>> http://restu.com.my/adabzikir.htm

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...